SHAH ALAM : Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mendapatkan penjelasan daripada Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan pertukaran calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara.
Amirudin berkata, beliau tidak mengetahui mengenai dakwaan pertukaran berkenaan.
“Belum, saya tidak tahu apa-apa, saya kena tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim (berhubung dakwaan itu),” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.
Beliau berkata demikian mengulas desas-desus menyatakan Ketua AMK Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim adalah calon yang sepatutnya kerana namanya disebut-sebut sejak awal lagi.
Bagaimanapun pada malam pengumuman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi PKR Selangor, nama Aidi Amin Yazid diumumkan oleh Anwar.
Terdapat dakwaan, kemungkinan Muhammad Izuan yang akan menyerahkan borang penamaan calon bagi kerusi DUN Kota Damansara esok.
Sumber dalaman parti juga memaklumkan Muhammad Izuan adalah calon baru bagi kerusi DUN Kota Damansara.
Terdahulu, Amirudin bersama barisan Exco Kerajaan Negeri menyerahkan kenderaan rasmi jawatan di perkarangan SUK, di sini, hari ini.
Simbolik pengetahuan kunci kenderaan masing-masing diterima oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim.