Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Pihak berkuasa akan melakukan siasatan untuk mengesan individu yang berkongsi kandungan bersifat provokatif terutama menjelang kempen saat akhir Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kandungan itu daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Aduan ini diterima saya dan MCMC dari beberapa orang di Sungai Bakap dan ini adalah satu tindakan yang jahat dan bersifat provokatif.
“Ada nombor telefon di situ (kandungan) dan pihak MCMC dan PDRM akan melakukan siasatan untuk mengesan mereka di sebalik tindakan jahat ini,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian susulan penyebaran satu kandungan bersifat fitnah di media sosial mengaitkan sebuah parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Pada masa sama, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan mengingatkan semua pihak supaya berkempen dengan cara sihat dan bukan menyebarkan dakyah atau fitnah melampau seperti ini.
“Sekiranya ini adalah usaha (sebaran provokatif dan fitnah) daripada mana-mana pihak, it will ‘backfire’ (memakan diri mereka),” katanya.
Untuk rekod, seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada PRK DUN Sungai Bakap esok.
Sebanyak sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadual dibuka serentak bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 6 petang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa