comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Sungai Bakap: PH fokus mobilisasi pengundi keluar mengundi

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI BAKAP: Pakatan Harapan (PH) optimis mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keyakinan itu bersandarkan kepada culaan yang dilakukan gabungan parti itu hasil kempen yang dijalankan sejak penamaan calon pada 22 Jun lalu.

Tumpuan pada 48 jam terakhir menjelang hari pengundian pula katanya tertumpu kepada usaha memobilisasi pengundi untuk mengundi.

“Kami telah memberikan tumpuan berasaskan kepada masalah setempat dan menjawab isu yang dibangkitkan pihak lawan. Kami ‘zoom’ supaya boleh membuat langkah mendekati masyarakat, dan menyelesaikan masalah pada peringkat mikro.”

“Kekuatan jentera kami berjaya digembleng untuk menjayakan hasrat ini. Asasnya, fokus masa akhir adalah ‘Get The Voters Out’,” katanya.

Jelasnya, meskipun PRK ini tidak menggugat status kerajaan negeri mahupun persekutuan, namun penglibatan aktif penyokong membolehkan seorang lagi wakil Melayu PH dapat ditempatkan dalam DUN Pulau Pinang.

Dalam pada itu mengulas laporan kajian Insitut Darul Ehsan (IDEA) yang menunjukkan PH mendapat 53.2 peratus sokongan berbanding 43 peratus Perikatan Nasional, Saifuddin berpendapat ia boleh dijadikan panduan.

“Ianya membantu kami mengolah strategi kampen lapangan namun tidak boleh mengganti secara keseluruhannya asas kerja kempen pilihan raya.”

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi PRK, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan Calon PH Dr Joohari Ariffin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini