comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PRK PULAI: ‘Pecutan’ akhir Suhaizan pikat pengundi kawasan panas

 

JOHOR BAHRU: Kurang 15 jam tempoh berkempen bagi Pilihan Rakyat Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang akan tamat jam 11.59 malam ini, calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat terus giat melakukan ‘sentuhan akhir’ bagi meraih sokongan pengundi.

Dalam tempoh akhir sebelum ‘menyerahkan nasibnya’ kepada rakyat Pulai esok, aktiviti kempen beliau ditumpukan ke kawasan kubu kuat PH-Barisan Nasional bagi menyantuni rakyat.

Katanya, setakat malam tadi, hampir keseluruhan pusat daerah mengundi (PDM) sudah disantuni dan pada hari terakhir ini, kempen beliau dan jentera akan menziarah ke kawasan-kawasan panas.

“Alhamdulillah, kita lihat respons pengundi amat baik dan harap momentum ini dapat diterjemah menerusi undi dan keputusan esok (hari mengundi). Kita akan terus merayu sokongan rakyat.

“Malam ini kita akan adakan ceramah grand finale yang akan dihadiri pemimpin PH-BN dan kita harap sentuhan akhir ini dapat menarik undi rakyat,” katanya kepada pemberita pada program bersama anak muda, di Kampung Pasir Tampoi, di sini, malam tadi.

Suhaizan ketika menyantuni peniaga dan pengunjung di Pasar Malam Taman Sutera, Perling, Johor. – FOTO: NSTP

Pada PRK Parlimen Pulai, Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PN Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK bagi kedua-dua kerusi, Sabtu ini.

Loading...
Terkini