BENTONG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan selagi tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.
“SPR berharap agar aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan/komponen.
“Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen/gabungan/pakatan pada bahan kempen pilihan raya,” menurut kenyataan itu.
Selepas pengisytiharan nama-nama calon yang akan bertanding dalam PRK berkenaan hari ini, masa berkempen kini bermula, dengan tempohnya adalah sehingga pukul 11.59 malam, 6 Oktober depan.
PRK itu diadakan ekoran kematian Johari, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas, dan SPR menetapkan hari mengundi pada 7 Oktober ini manakala 3 Oktober sebagai tarikh pengundian awal.
PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam yang mewakili Barisan Nasional (BN), Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli. – BERNAMA
| ARTIKEL BERKAITAN
- PRK Pelangai: proses penamaan calon berlangsung hari ini
- Polis, petugas SPR, berkumpul di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul
- 2,000 penyokong iringi calon BN DUN Pelangai
- Pertandingan tiga penjuru di DUN Pelangai
- PRK Pelangai: Bertanding calon bebas, keahlian UMNO Haslihelmy gugur- Zahid
- Wan Rosdy ketuai jentera BN di Pelangai – Zahid