BENTONG: Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Haslihelmy DM Zulhasli, dipecat serta-merta keahliannya daripada parti berkuat kuasa hari ini.
Perkara itu disahkan Presiden Parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas Haslihelmy, yang juga ahli UMNO Kampung Sum-Sum, memutuskan bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
“Walaupun beliau menjadi calon Bebas, secara automatik mulai hari ini keahlian beliau gugur,” katanya di Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mengulas tindakan Haslihelmy yang bertanding atas tiket Bebas pada PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober ini.
Terdahulu, Haslihelmy dilihat tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 9.05 pagi.
Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong Datuk Amizar Abu Adam, 53, yang juga anak jati FELDA Chemomoi manakala Perikatan Nasional (PN) meletakkan Naib Yang Dipertua PAS Bentong, Kasim Samat, 63 tahun, lebih dikenali sebagai Cikgu Kasim.