comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Pelangai: Amizar tekad tingkatkan prasarana, fokus pembangunan anak muda 

Calon BN PRK DUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam (duduk tengah berbaju putih) bersama anak muda di di Mok Burger, Simpang Pelangai.- Foto: Amizar Abu Adam / Facebook

BENTONG: Anak muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai percaya dan yakin Barisan Nasional (BN) mampu membawa pembangunan berterusan terutama di kawasan kampung.

Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam, berkata keyakinan itu disuarakan golongan muda ketika beliau mengadakan tinjauan bertemu penduduk di Pekan Manchis dan Kampung Shafie di sini dan berkonvoi motosikal mengelilingi kawasan berkenaan semalam.

“Sambutan sangat baik turut diterima daripada penduduk di Pekan Manchis dan Kampung Shafie. Mereka akan pastikan calon BN menang di Pelangai agar kawasan itu bertambah maju dan makmur selepas ini.

“Saya juga menerima pandangan yang disuarakan golongan muda. Ketika bertemu mereka sambil ‘mengopi’ bersama golongan veteran, kita mendengar apa yang mereka inginkan di situ.

“Kebanyakannya mahukan prasarana dipertingkatkan dan pembangunan orang muda di situ,” katanya yang berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli dalam PRK DUN Pelangai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 3 Oktober ini sebagai hari pengundian awal manakala 7 Oktober untuk hari pengundian.

Mengulas lanjut, Amizar berkata golongan muda di Kampung Shafie dekat Simpang Pelangai pula yakin dengan kemampuan BN boleh membawa perubahan pembangunan berterusan di DUN Pelangai.

“Ketika ziarah dan program ramah mesra, kebanyakan penduduk yang ditemui mahu prasarana sedia ada dipertingkatkan untuk kemudahan mereka. Ia akan menjadi perhatian utama jika saya dipilih sebagai wakil rakyat pada 7 Oktober ini,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini