PETALING JAYA: PRK Parlimen Pulai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan bebas.
Pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihanraya PRK Pulai, Miswan Yunus jam 10.15 pagi selepas tamat tempoh penamaan calon yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Calon PH Suhaizan Kaiat bakal berdepan Zulkifli Jaafar daripada PN dan Samsudin Mohamad Fauzi (bebas).
Suhaizan adalah bekas Speaker DUN Johor, Naib Pengerusi Amanah Johor dan Ketua Amanah Pulai.
Zulkifli, usahawan kelahiran Tampoi adalah Timbalan Ketua Bersatu Pulai.
PRK itu dilaksanakan susulan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 5 September dan 9 September sebagai hari mengundi.
Salahuddin merampas Pulai daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 dengan kelebihan 28,924 undi.
Pada PRU15, beliau menewaskan dua pencabar lain dengan 33,174 undi.
Salahuddin berjaya memperoleh 64,900 berbanding calon BN, Nur Jazlan Mohamed (31,726) dan calon PN, Loh Kah Yong (20,677) undi.