comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK: Lebih 70 peratus dijangka keluar mengundi esok – SPR

 

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di SMK Aminuddin Baki, Johor – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada hari pengundian esok dijangka lebih 70 peratus.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata jangkaan itu berdasarkan peratusan keluar mengundi di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Untuk sasaran peratusan keluar mengundi, kalau lihat trend terkini kita harap Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dapat lebih 70 peratus kerana sebelum ini agak rendah.

“Kita seru semua pengundi keluar mengundi esok dan jangan lupa kad pengenalan masing-masing supaya proses pengundian esok berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan dan semakan akhir SPR bagi PRK Parlimen Pulai, di Bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh meninjau persiapan alatan mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Menara MBJB, Johor – Foto: NSTP

Abdul Ghani turut menasihatkan pengundi supaya menyesuaikan waktu keluar mengundi kerana keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.

Waktu mengundi bermula jam 8 pagi hingga 6 petang dengan sebanyak 294 jumlah saluran di 47 pusat mengundi di Parlimen Pulai manakala 68 jumlah saluran di 14 pusat mengundi bagi DUN Simpang Jeram.

SPR juga menjangkakan, keputusan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan diperolehi lebih awal.

“Ia berdasarkan PRN terdahulu yang mana keputusan dapat diperolehi agak awal. Kalau tiada aral melintang, insya-Allah lepas waktu Isyak kita dapat mengumumkan keputusan,” katanya.

Mengenai pengundi dua kawasan itu yang bekerja di Singapura, Abdul Ghani memohon agar mereka pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Pengundi di Singapura, sebelum ini ada yang memohon secara pos, kita sudah beri. Kebetulan esok Johor cuti, SPR berharap mereka yang ada di Singapura dapat ambil cuti atau majikan masing-masing dapat memberipelepasan keluar mengundi,” katanya.

Loading...
Terkini