comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK KEMAMAN : Pusat pengundian ditutup, proses penjumlahan undi bermula

Anggota Polis menutup pintu pagar menandakan berakhirnya mengundi pada jam 6.00 petang di Sekolah Kebangsaan Chukai. – Foto: NSTP

CHUKAI : Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang bermula sejak jam 8 pagi tadi, selesai selepas 49 pusat pengundian ditutup pada jam 6 petang.

Semua peti undi dari 49 pusat mengundi melibatkan 244 saluran mengundi akan dibawa ke Pusat Penjumlahan Undi Rasmi di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman.

Keputusan rasmi  dijangka diumumkan pada jam 9 malam ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi yang direkodkan setakat jam 4 petang ialah 60 peratus daripada 141,043 pengundi pengundi berdaftar.

Sebelum ini, 387 anggota Polis Diraja Malaysia dan enam anggota tentera yang sepatutnya mengundi awal pada 28 November, diarah melaksanakan undi secara pos bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.

Manakala, pada 28 November lalu, proses pengundian awal di Balai Polis Kijal,  hanya tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan Che Alias Hamid daripada PAS, pada Pilihan Raya Umum Ke-15. – BERNAMA

Loading...
Terkini