Tumpuan :
Nasional

PRK KEMAMAN: Polis buka kertas siasatan terhadap Muhyiddin babit isu 3R

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay melawat pusat mengundi di SK Bukit Mentok. – Foto: NSTP

CHUKAI : Polis membuka kertas siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan membabitkan 3R (agama, bangsa dan raja) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilakukan mengikut Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mencetuskan keadaan tidak harmoni.

Bercakap pada sidang media selepas melakukan tinjauan di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini hari ini, beliau berkata siasatan itu dijalankan susulan satu laporan polis yang dibuat terhadap Muhyiddin di sebuah balai polis di sini, Jumaat lalu.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU pada satu ceramah perdana di sini, antara lain didakwa mengeluarkan “fatwa” harus untuk ahli UMNO meninggalkan parti itu.

Beliau juga dilaporkan berkata, mereka yang berbuat demikian boleh mendapat ganjaran pahala hijrah seperti zaman Rasulullah SAW.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengingatkan semua penyokong parti agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan ataupun perarakan pasca pilihan raya supaya tidak menimbulkan gangguan kepada ketenteraman awam.

“Polis akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam semasa pascapilihan raya nanti,” katanya.

Beliau berkata seramai 280 anggota dan pegawai polis akan memantau situasi ketenteraman awam selepas pilihan raya sehinggalah situasi berada dalam keadaan aman dan harmoni.

PRK Kemaman menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Ia diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – BERNAMA

Loading...
Terkini