Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Barisan Nasional (BN) mendapati wujud gelombang baharu dan perubahan sokongan pengundi Cina bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.
Ini kerana ada kalangan pengundi berkenaan mendakwa sudah serik dengan PAS yang gagal mentadbir negeri dengan baik dan tiada pembangunan dilakukan.
Justeru, mereka yakin calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor mampu membawa perubahan bersama Kerajaan Perpaduan.
Menurut Ketua Wanita MCA Kemaman, Boon Kim Ling, MCA bekerja kuat bagi memastikan calon BN menang pada 2 Disember depan.
Katanya, masyarakat Tionghua di Kemaman mahukan kawasan itu menjadi sebuah daerah yang maju dan sektor ekonomi dapat dipertingkat.
“Sebab mereka pun rasa dah akan menyokong BN dengan kita punya calon yang (mempunyai) mempunyai imej yang sangat baik, landasan dan komponen yang sangat kuat, jadi saya rasa kali ini kita buat ia jadi kenyataan lah.
“Harapan warga Kemaman pun pengundi muda dan pengundi-pengundi luar negeri dapat balik bagi sokongan kepada BN,” katanya.
Terdahulu, Raja Mohamed Affandi turun padang bertemu pengundi Cina di sekitar Bandar Chukai.
“Saya telah buat sentuhan dengan masyarakat Tionghua yang berada di daerah utara Chukai.
“Mereka saya jumpa waktu pagi di kedai-kedai kopi, rata-rata mereka bersama dengan BN, bersama saya atas mengenali saya,” katanya.
Jelasnya lagi, beliau tidak gentar dengan naratif pihak lawan yang merendah-rendahkan kemampuannya untuk bergelar wakil rakyat.
“Saya bukan orang politik tapi tak bermakna seorang tentera itu tidak tahu berpolitik, dalam hal ini saya mempunyai kelebihan dan kekuatan sendiri.
“Saya ada gabungan di antara mengetahui, meresapi politik dan sebagainya, dan apa yang saya jiwai sekarang sebagai seorang tentera itu adalah kelebihan saya,” tambahnya.
Pada PRK Kemaman, terdapat 6,953 pengundi cina layak mengundi dengan 2,683 daripada jumlah itu, adalah pengundi muda.
PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Raja Mohamed Affandi dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 2 Disember depan bagi hari mengundi susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu, membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.