KIJAL: Ketiga-tiga individu yang merupakan isteri kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing pada jam 10.56 pagi tadi.
Pengundi, Razidah Razali, 36, berkata ketika tiba di Pusat Pengundian di Balai Polis Kijal, agak terkejut kerana hanya dia yang pertama tiba untuk mengundi pada jam 8.55 pagi tadi.
“Perasaan agak lega apabila selesai tunaikan tanggungjawab dalam PRK Kemaman ini. Nak kata teruja tu, tak ada lah sebab ini bukan pengalaman kali pertama saya mengundi.
“Tapi sedikit berdebar apabila tiba tadi nampak ramai orang (wartawan). Selalunya bila sampai memang beratur untuk mengundi, ini jadi tumpuan pula apabila ada kamera mengambil gambar,” katanya yang suaminya berkhidmat sebagai tentera di Regimen Wataniah Kem Bukit Kuang, Chukai.
Sementara itu, rakannya, Norhayati Ismail, 38, berkata beliau tiba di sini semalam dari Besut untuk melaksanakan undi awal hari ini.
“Saya ingatkan ramai yang mengundi hari ini, tapi tadi bila baca berita baru tahu ada tiga orang sahaja yang mengundi awal di sini.
“Ini pertama kali (saya datang awal), sebelum ni saya memang antara yang terakhir datang sebab beri laluan kepada askar dan polis untuk mengundi dahulu,” katanya.
Bagi pengundi ketiga, Fatin syazwani Mat Hussin, 29, berkata walaupun kali kedua berpeluang untuk mengundi namun masih ada perasaan berdebar ketika menunaikan tanggungjawab itu.
“Saya dapat tahu mengenai undi awal ini pagi tadi, bila suami beritahu untuk datang ke sini dan bertolak dari Kuantan jam 9 pagi tadi,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan memaklumkan sebanyak 387 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan enam anggota tentera yang layak mengundi awal hari ini diarahkan melakukan undian secara pos pada 23 dan 24 November lalu.
Beliau berkata, kaedah itu terpaksa ditukar bagi memastikan anggota dapat memberi tumpuan kepada kerja menyelamat dan bertugas pada musim banjir.
PRK Kemaman yang ditetapkan 2 Disember ini sebagai hari mengundi menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
Pilihan raya itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pada PRU15, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.