comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Kemaman: Ahmad Said dilantik Pengarah Jentera BN

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilantik sebagai Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang akan berlangsung Disember depan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pelantikan bekas menteri besar Terengganu itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

“Bagaimanapun, nama calon yang bakal mewakili BN akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Menara Dato Onn, di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember depan manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Foto BH

Asyraf turut mengumumkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengetuai Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) dengan menggembleng semua peringkat kepimpinan Umno di seluruh negara.

Katanya, penganjuran kolokium berkenaan bertujuan mendukung penganjuran KEB pada Januari tahun depan yang menjadi komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Asyraf dalam satu kenyataan memaklumkan Umno akan mengaktifkan semula Tabung Muafakat Palestin.

Ia diurus oleh bendahari parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk dihantar secara terus ke Gaza sebagai tanda komitmen dan solidariti bersama rakyat Palestin.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini