comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Kemaman: 49 pusat mengundi dibuka mulai 8 pagi 

FOTO: NSTP

CHUKAI: Lebih 141,000 pengundi bakal menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat di Parlimen Kemaman hari ini.

Proses pengundian akan bermula jam 8.00 pagi dan tamat pada 6.00 petang dengan 244 saluran di 49 pusat mengundi dibuka sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi boleh mencapai 70 peratus, namun ia tetap bergantung kepada keadaan cuaca yang mana diramalkan hujan sepanjang hari di kawasan tersebut.

Pengundi turut diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional BN dan PAS.

BN berusaha menawan kerusi Parlimen ini menerusi bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Manakala PAS menjadikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai sandaran, sekali gus menyerlahkan kesungguhan parti itu mengekalkan rekod memegang kesemua 8 kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN Terengganu.

28 November lepas, proses pengundian awal tetap dijalankan di Balai Polis Kijal, di sini, melibatkan hanya tiga pengundi yang merupakan pasangan tentera.

Pada PRU15, PAS mengekalkan kerusi Parlimen ini dengan majoriti lebih 27,000 undi mengalahkan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Bagaimanapun keputusan itu kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya setelah mendapati wujud unsur sogokan kepada pengundi semasa kempen pilihan raya, justeru PRK Kemaman terpaksa diadakan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini