JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 304 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata pengeluaran kertas undi pos itu dilakukan Petugas Pilihan Raya di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, semalam, dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding.
Beliau berkata, sebanyak 226 kertas undi pos dikeluarkan bagi Parlimen Pulai.
Ia membabitkan 172 untuk kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media), 22 kertas undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), enam lagi untuk kategori 1C (agensi dan organisasi), serta 26 untuk pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
“Bagi PRK DUN Simpang Jeram pula, sebanyak 78 kertas undi pos dikeluarkan terdiri daripada 62 untuk Kategori 1A, Kategori 1B (10) dan PTH luar negara (enam ),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ikmalrudin mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2), serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum jam 5 petang 9 September depan.
“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya dalam laman media sosial,” katanya. – BERNAMA