JOHOR BAHRU: Satu lagi kertas siasatan dibuka Polis Johor semalam, membabitkan kejadian khianat ke atas bendera dan banner yang dipasang sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di negeri ini.
Jurucakap Media PRK Johor, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Katanya, sehingga kini, tiga kertas siasatan sudah dibuka sepanjang tempoh berkempen yang bermula sejak 26 Ogos lalu.
“Semalam, satu kertas siasatan dibuka berkaitan dengan bendera dan banner yang telah ditumbangkan dan dipercayai ada unsur khianat.
“Sebelum ini, dua kertas siasatan juga sudah dibuka membabitkan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan juga Seksyen 427 kanun sama,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Selain itu, Ibrahim berkata, sebanyak 30 permit ceramah dan kempen sempena PRK di negeri ini diluluskan, semalam.
Katanya, daripada jumlah itu, 21 permit yang diluluskan adalah bagi kawasan Parlimen Pulai dan sembilan permit bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram.
“Bagi kawasan Parlimen Pulai, sebanyak lapan permit ceramah dan 13 permit kempen diluluskan, manakala, bagi kawasan Dun Simpang Jeram, sebanyak enam permit ceramah dan tiga permit kempen diluluskan,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang tempoh berkempen, Polis Johor sudah meluluskan 324 permit daripada 333 permohonan yang diterima pihak polis.
Pada masa masa, beliau menasihatkan supaya semua parti serta kumpulan penyokong menghormati antara satu sama lain serta tidak melakukan kerosakan terhadap poster, banner, bendera, kain rentang mana-mana parti politik dengan mencabut atau membakarnya.
“Hal ini adalah satu perbuatan khianat dan menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya mempunyai sebarang permasalahan yang timbul, mana-mana pihak boleh merujuk kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang yang sedia ada.