comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Johor: Calon minta Imigresen buka laluan khas rakyat balik mengundi dari Singapura

JOHOR BAHRU: Calon PH bagi PRK Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat memohon Jabatan Imigresen membuka laluan khas di kompleks sempadan Johor-Singapura pada hari pengundian 9 September ini.

Katanya, kira-kira 30 peratus daripada hampir 170 ribu pengundi di Pulai bekerja di negara jiran itu.

Justeru, laluan khas dapat memudahkan rakyat Johor yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi pada PRK khususnya di Parlimen Pulai.

Suhaizan berkata, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

“Memang ada cadangan kita pada pihak kerajaan dan kita akan buat susulan mengenai hasrat itu.

“Sudah pasti ia disebut dalam cadangan keperluan kepada pengundi Parlimen Pulai yang bekerja di Singapura untuk memudahkan mereka balik.

“Tetapi dalam masa sama kita khuatir kerana pada hari itu (Sabtu) adalah hari bekerja. Jadi saya bimbang mereka (pengundi yang bekerja di Singapura) tidak sempat mengundi kerana pulang sudah lewat, sebab itu kita minta agar mereka dapat meluangkan masa untuk bercuti. Satu hari untuk mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam tinjauan mesra di pasar malam Taman Sutera di sini hari ini.

Menurut Suhaizan, PH menggunakan platform media sosial bagi mendekati pengundi terutama yang bekerja di Singapura.

Ujarnya, medium itu digunakan bagi membolehkan pengundi yang bekerja di Singapura mengikuti perkembangan kempennya.

“Kita cuba menggunakan media sosial untuk mengajak mereka supaya kembali ke Parlimen Pulai untuk mengundi pada 9 September nanti.

“Ada beberapa kategori sebenarnya, yang pertama rakyat di bawah Parlimen ini yang bekerja di Singapura dan menetap di sana dalam tempoh mingguan. Jadi kami gunakan media sosial untuk memujuk mereka supaya pulang mengundi.

“Kategori kedua mereka tinggal di Johor Bahru tetapi berulang alik bekerja ke Singapura, kita akan jayakan beberapa program yang berbentuk mega untuk merayu mereka turun mengundi.

“Kategori ketiga mereka tinggal di sini tetapi kita khuatir pada hari itu mereka bekerja kerana pada hari itu hari Sabtu jadi mereka tidak sempat untuk mengundi kerana lewat. Jadi kita minta mereka dapat luangkan masa untuk mengundi, satu hari (cuti) untuk keluar mengundi,” katanya.

Suhaizan sebelum ini pernah meluahkan kebimbangan mengenai  pengundi yang bekerja di Singapura tidak sempat membuang undi kerana terpaksa melalui laluan yang sesak di tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

Loading...
Terkini