Oleh: Siti Khadijah Jaafar
PUTRAJAYA ; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom memaklumkan, tarikh bagi hari penamaan calon ditetapkan pada 21 Oktober.
Menurutnya, seramai 22,804 pengundi yang layak akan menunaikan tanggungjawab pada PRK kali ini.
“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan satu PRK Dewan Negeri N.67 Jepak hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut” katanya dalam sidang media di Menara SPR sebentar tadi.
Bagi maksud menjalankan PRK Dewan Negeri Jepak SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti berikut:
“Tarikh keluar writ pada 25 September (Selasa), hari penamaan calon pada 21 Oktober (Sabtu), hari mengundi awal 31 Oktober (Selasa) dan hari mengundi 4 November (sabtu)”.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Jepak adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun 2023
yang dikemas kini pada sehingga 15 September 2023.
DPPR ini mengandungi seramai 22,804 orang pemilih yang terdiri daripada 22,761 orang pengundi biasa, dan 43 orang anggota polis.
PRK Jepak bakal menelan perbelanjaan sebanyak RM 2 juta.
Tambahnya lagi, SPR telah menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari sebaik sahaja selepas pengisytiharaan calon-calon yang bakal bertanding.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Talib Zulpilip.
Allahyarham yang menyandang kerusi DUN berkenaan selama enam penggal meninggal dunia pada 15 september lalu akibat komplikasi kesihatan di Pusat Perubatan Normah di Kuching.
|ARTIKEL BERKAITAN