comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK Jepak: Lebih 22,000 pengundi tunai tanggungjawab di 14 Pusat Mengundi hari ini

Foto hiasan

BINTULU: Seramai 22,804 pengundi dijangka menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu mewakili mereka untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 14 Pusat Mengundi dan 45 Saluran akan dibuka bermula 7.30 pagi hingga 5.30 petang.

Manakala seramai 446 orang petugas akan bertugas sepanjang proses pengundian nanti.

Pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

Setiausaha SPR Dato Indera Ikmalrudin Ishak bagaimanapun menyatakan bahawa pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi diwartakan.

Pertembungan tiga penjuru di PRK DUN Jepak menyaksikan dari kiri, calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang.

Sementara itu menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) cuaca di Bintulu diramalkan cerah pada sebelah pagi.

Manakala ribut petir diramal di beberapa kawasan pada sebelah petang dan cuaca hujan di beberapa tempat pada malamnya.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu.

DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.

Loading...
Terkini