comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PRK DUN Sungai Bakap: SPR benarkan pengundi di SMK Bandar Tasek Mutiara masuk ke pekarangan pusat mengundi lebih awal

Oleh: Selwam Arjunan

SIMPANG AMPAT: Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara, di sini, mendapati pengundi mula beratur seawal jam 7 pagi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengundi pertama dalam barisan, Mohd Faizul Ariffin, 47 berkata, dia tiba pada jam 6.50 pagi bagi memastikan dapat mengundi awal.

Mohd Faizul Ariffin, 47.

“Saya ada urusan di kampung petang nanti, tapi saya tidak mahu melepaskan hak mengundi.

“Jadi saya datang awal untuk dapat giliran awal untuk menunaikan tanggungjawab saya,” katanya ditemui Buletin TV3 di luar pusat mengundi.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendapati barisan panjang di luar pusat mengundi telah membenarkan pengundi memasuki pekarangan sekolah lebih awal pada jam 7.40 pagi untuk memeriksa nombor saluran dan beratur di luar bilik mengundi.

Pusat mengundi ini memiliki jumlah pengundi tertinggi dengan 8,482 orang.

PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.

PRK diadakan susulan kematian penyandangnya dari PN, Nor Zamri Latiff akibat keradangan perut pada 24 Mei lalu.

Allayarham memenangi kerusi Sungai Bakap dalam Pilihan Raya Negeri tahun lalu dengan majoriti 1,563 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini