comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Sungai Bakap: SPR adakan mesyuarat khas 6 Jun

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, berhubung kekosongan luar jangka kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata kekosongan kerusi itu hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berkenaan dipastikan oleh pihaknya, sebagaimana diperuntukkan bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan N.20 Sungai Bakap pada 6 Jun ini bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu diadakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Choo Kiang dilapor menyerahkan notis kekosongan DUN Sungai Bakap kepada Pengarah SPR Pulau Pinang, Dr Siti Nazariah Abdul Zalim, di pekarangan bangunan DUN Pulau Pinang, kira-kira 2 petang tadi.

Nor Zamri, 56, meninggal dunia pada Jumaat lalu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Seberang Jaya (HSJ), kerana mengalami keradangan dalam perut.

Allahyarham menerima rawatan sejak awal bulan ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose, dengan majoriti 1,563 undi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini