comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Sungai Bakap: Saluran anak muda lebih ramai daripada warga emas – SPR

FOTO: NSTP

NIBONG TEBAL: Peratusan anak muda keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada sebelah pagi dilihat agak memberangsangkan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun.

Ramlan berkata selepas meninjau proses pengundian di tiga pusat pengundian di sini, beliau mendapati pola pengundian menyaksikan saluran anak muda merupakan paling banyak diisi.

“Sekolah ini ialah lawatan ketiga saya pagi tadi dan keadaan amat tenteram dan proses pengundian berjalan lancar dan harmoni.

“Keadaan agak seimbang dan ada beberapa saluran kita tengok saluran muda lebih ramai daripada warga emas. Ramai orang muda keluar awal pada kali ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri di sini hari ini.

Beliau berkata setakat pukul 11 pagi, peratusan keluar mengundi ialah 24 peratus daripada keseluruhan 39,151 pengundi berdaftar sejak pusat mengundi dibuka pada 8 pagi tadi.

“Kita harapkan ramai lagi yang akan keluar mengundi, namun begitu kita tidak menolak kemungkinan peratusan mengundi (PRK) akan rendah berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas dan saya harap ramai turun mengundi bagi menaikkan peratusan pengundian.

“Saya berharap pengundi-pengundi yang masih belum tunaikan kewajipan dapat mengambil kesempatan ini secepat mungkin bagi mengelakkan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Ramlan turut memaklumkan setakat ini, pihak SPR tidak menerima laporan yang serius hanya melibatkan kesalahan-kesalahan kecil pilihan raya.

Sebanyak sembilan pusat mengundi dengan 65 saluran dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang, melibatkan 39,151 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK itu hari ini.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini