comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Sungai Bakap: Proses penamaan calon berjalan lancar

Foto: NSTP

NIBONG TEBAL: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini hari ini berjalan lancar.

Jurucakap Polis Pulau Pinang bagi PRK DUN Sungai Bakap, SAC W. Puspanathan berkata, seramai 600 pegawai dan anggota polis terlibat mengawal lalu lintas dan keselamatan sepanjang proses penamaan calon itu.

“Pihak polis amat berpuas hati dengan kerjasama daripada parti-parti politik bertanding,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kesalahan berkaitan pilihan raya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi PRK berkenaan pada 6 Julai, manakala pengundian awal pada 2 Julai depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini