Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Sungai Bakap: Ibu berpantang hadir mengundi

Foto: NSTP

NIBONG TEBAL: Seorang ibu sedang berpantang selepas baru 10 hari melahirkan anak sulung, tetap hadir mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, di sini, hari ini.

Meskipun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk ke saluran mengundi, Dalila Diana Shafie, 37, yang juga tenaga pengajar di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Puteri Gunung, tetap teruja menunaikan tanggungjawabnya sebagai pemilih berdaftar.

“Awal tadi, saya ke Klinik Desa Tasek Simpang Ampat untuk membuat pemeriksaan susulan sebelum terus ke sini bersama suami. Sayang kalau tidak mengundi sebab ini membabitkan masa depan negara kita.

“Saluran mengundi sepatutnya di tingkat atas tetapi saya tidak berani naik tangga sebab luka pembedahan belum betul-betul baik. Jadi disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan ini, saya dibenarkan tumpang mengundi di tingkat bawah,” katanya sambil memaklumkan beliau menunggu selama 15 tahun untuk mendapat zuriat pertama.

Dalila Diana turut memaklumkan bahawa beliau tidak pernah melepaskan peluang mengundi setiap kali ada pilihan raya sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRK12) pada 2008.

Beliau sekali gus bersyukur kerana suami turut memberi semangat dan galakan kepadanya untuk hadir mengundi, hari ini, malah berusaha menghantarnya ke pusat pengundian.

“Terima kasih kepada semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membantu melancarkan urusan saya dari pintu masuk hinggalah selesai mengundi.

“Tugas saya sebagai warganegara Malaysia dan pengundi DUN Sungai Bakap telah selesai. Harapan saya ialah pemimpin yang bakal dipilih nanti dapat memimpin dengan baik, mendengar segala keluhan rakyat dan berusaha menunaikan tanggungjawab diamanahkan,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin, dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri, Ogos tahun lalu, Allahyarham Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menang dengan meraih majoriti 1,563 undi. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini