comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Sungai Bakap: Hari penamaan calon, apa pesan SPR kepada bakal calon?

Oleh: Kumaran Rajamoney

NIBONG TEBAL: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap membuka tirainya hari ini.

Tepat jam 9 pagi nanti, pintu Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, di sini akan dibuka bagi membolehkan proses penamaan calon dijalankan.

Tempoh satu jam sehingga pukul 10 pagi akan menjadi waktu penting bagi parti yang ingin mempertaruhkan calon masing-masing untuk menyerahkan borang pencalonan kepada Pegawai Pengurus yang ditugaskan.

Bagi melancarkan proses penamaan calon, Setiauasaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak telah menyarankan kepada bakal calon yang ingin bertanding dalam PRK ini agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang sebelum hari penamaan calon.

Selain itu, bakal-bakal calon disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa bersama sebagai bukti.

Bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula katanya, hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon.

Setiap bakal calon hanya dibenarkan diiringi oleh seorang pencadang calon dan seorang penyokong calon untuk memasuki pusat penamaan calon.

SPR juga jelasnya, menasihati bakal calon supaya tidak menggunakan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan semua jenis kenderaan.

Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan yang telah ditetapkan.

SPR juga katanya menyeru kepada bakal calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut dan SPR menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini