NIBONG TEBAL: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sehingga jam 9 pagi tadi adalah 8.88%.
Ia dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi laman rasminya.
Tinjauan mendapati, cuaca yang baik dan cerah pada sebelah pagi membolehkan pengundi di DUN Sungai Bakap di sini keluar seawal mungkin untuk menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian PRK hari ini.
Seawal jam 7 pagi, kelihatan pengundi sudah mula beratur di pekarangan pusat pengundian untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih, walaupun ia hanya dibuka pada jam 8 pagi.
Ramai dilihat mengambil peluang menunaikan kewajipan pada sebelah pagi berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini yang kadang-kala baik, namun hujan di sebelah petang.
Menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini, cuaca diramalkan hujan di beberapa kawasan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pada sebelah pagi, manakala cuaca baik dan tiada hujan pada sebelah tengah hari dan malamnya, dengan suhu antara 27 hingga 33 darjah Celcius.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lepas, kerusi tersebut dimenangi Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa