Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PRK DUN Simpang Jeram saksikan pertembungan tiga penjuru 

Dari kiri, Jeganathan, Nazri dan Dr Mazri sebaik diumumkan calon layak bertanding DUN Simpang Jeram – Foto: NST

MUAR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas sebaik sesi penamaan calon selesai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, hari ini.

PH mempertaruhkan bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar (MPM), Nazri Abd Rahman, sementara PN meletakkan pakar bedah, Dr Mazri Yahya manakala S Jegananthan mewakili Bebas.

Pegawai Pengurus PRK DUN Simpang Jeram Jamil Hasni Abdullah mengumumkan calon sebaik tempoh proses penamaan calon ditutup tepat 10 pagi selepas dibuka 9 pagi tadi.

Terdahulu, Nazri tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.50 pagi manakala Dr Mazri 8.40 pagi. Jegananthan pula tiba pada jam 8.55 pagi.

Kedua-dua calon itu diiringi penyokong masing-masing dengan turut kedengaran laungan ‘Allahuakbar’ dan ‘Reformasi’ oleh penyokong yang menunggu di luar dewan terbabit.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalui akibat pendarahan otak.

Allahyarham memenangi kerusi DUN Simpang Jeram sejak 2018 sebelum berjaya mempertahankannya sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac tahun lalu.

DUN Simpang Jeram mempunyai 40,379 orang pemilih dengan 40,373 daripadanya adalah pengundi biasa manakala enam lagi pengundi tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian 9 September depan.

Loading...
Terkini