KUANTAN: Sebanyak tujuh borang pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Bentong, telah dijual sehingga semalam.
Pengarah Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) Pahang, Datuk Zamree Hamli berkata, Perikatan Nasional (PN) dan UMNO masing-masing membeli tiga borang, manakala satu lagi borang oleh wakil bebas.
SPR mula menjual borang itu pada 24 Ogos lalu dan mereka yang ingin bertanding boleh membelinya di pejabat SPR Pahang di Kuantan dan Pejabat Daerah dan Tanah Bentong.
PRK DUN Pelangai adalah yang keempat diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PRK Kuala Terengganu, Pulai dan Simpang Jeram.
Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam bulan lalu, yang turut mengorbankan sembilan yang lain.
Allahyarham yang juga EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi berkenaan pada PRU15 dengan majoriti 4,048 undi.