KLUANG: Seorang wanita masih dalam tempoh berpantang selepas baharu 30 hari melahirkan anak sulungnya, hadir mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini, pagi ini.
Sambil mendukung anaknya, Nur Syafaa Atiya Mohd Riyadh Irfan berusia 30 hari, Nur Syafiqah Azani, 19, dihantar ke pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana oleh suaminya kira-kira jam 8.40 pagi.
Mereka bertolak dari kediaman di Tampoi, Johor Bahru kira-kira jam 4 pagi dan terus bertolak pulang sebaik selesai mengundi.
“Saya tidak mahu melepaskan peluang kerana ini kali pertama saya menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRK DUN Mahkota.
“Saya berasal dari Sarawak dan berpindah ke Taman Murni pada 2016 bersama keluarga dan sebab itu saya didaftarkan secara automatik sebagai pengundi 18 di sini.
“Saya membuat semakan daftar pemilih tahun lalu dan mendapati saya layak mengundi pada PRK DUN Mahkota hari ini,”katanya ketika ditemui BH.
PRK DUN Mahkota membabitkan seramai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa; 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.