KLUANG: “Esok, untuk kali pertama selepas kemenangan ini, saya mahu ke pusara arwah bapa nak beritahu ‘abah, saya dah melakukan segala-galanya’,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota yang baru, Syed Hussien Syed Abdullah yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.
Ketua Pemuda UMNO Kluang itu menang dengan majoriti 20,648 selepas meraih 27,995 di berbanding Mohamad Haizan atau Coach Haizan dengan 7,347 undi.
Selepas memberitahu mahu ke pusara arwah bapanya, Syed Hussien kelihatan sebak seketika kerana kehilangan insan tercinta selepas beliau diumumkan sebagai calon BN.
“Itulah yang pertama yang saya mahu lakukan esok. Saya berterima kasih kepada semua terutama Presiden UMNO (Datu Seri Dr Ahmad Zahid Hamid), Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) serta kepimpinan atas kemenangan ini.
“Alhamdulillah kita mencapai kemenangan besar hasil kerjasama berpasukan, kepada semua pengundi, saya ucapkan terima kasih,” katanya pada sidang media selepas diumumkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota.
Dalam PRK ini, majoriti diraih Syed Hussien lebih empat kali ganda daripada 5,166 undi diperolehi Allahyarham Sharifah Azizah Syed Zain ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.
“Terima kasih banyak-banyak dan ini tanggungjawab besar saya perlu laksanakan selepas dipilih menjadi wakil rakyat baru.
“Saya mahu meneruskan khidmat kepada penduduk DUN Mahkota seperti dijanjikan sepanjang kempen berlangsung,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.