comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Mahkota: Proses undi awal berakhir, pusat pengundian ditutup 5 petang

Oleh Zahir Senapiah

KLUANG: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tamat apabila tiga pusat ditutup pada 5 petang tadi.

Proses pengundian berjalan lancar bermula jam 8 pagi tadi tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi amat memberangsangkan dengan 93.17 peratus daripada 4,911 anggota tentera dan pasukan polis serta keluarga keluar menunaikan tangungjawab masing-masing.

Tiga pusat undi terbabit ialah Dewan Pengaman Zamrud di Perumahan Polis Kluang, Dewan Mahkota di Kem Mahkota dan Sekolah Kebangsaan Sir Ibrahim.

Selepas ditutup, semua peti undi kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kluang dengan diiringi pasukan polis untuk disimpan sebelum dikeluarkan untuk proses penjumlahan undi pada 28 September ini.

DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa manakala tentera dan pasangan 4,510, pegawai dan anggota polis seramai 401 orang serta 10 orang pengundi luar negara

SPR menetapkan 28 September ini untuk proses pengundian dan keputusan dijangka dapat diketahui jam 10 malam hari yang sama.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lepas.

BN diwakili Syed Hussien Syed Abdullah manakala PN diwakili Mohamad Haizan Jaafar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini