comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Mahkota: Pengundi beratur seawal 7.30 pagi tunai tanggungjawab

MB Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turun padang membantu pengundi warga emas yang berkerusi roda di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di Kluang Johor, kira kira 8.05 minit pagi. – FOTO: NSTP

KLUANG: Pengundi mula beratur seawal 7.30 pagi bagi menjalankan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut turun padang dengan memandu sendiri kenderaan dan membantu pengundi warga emas berkerusi roda di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini, kira kira 8.05 minit pagi.

Ketika ini, keadaan cuaca baik dan keadaan laluan di lokasi ke pusat mengundi dikawal rapi oleh polis dengan dipantau oleh Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah akan mengundi di lokasi ini kira-kira 8.30 pagi manakala calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, dijangka mengundi di Pusat Mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu, kira-kira 10 pagi.

PRK DUN Mahkota membabitkan seramai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Bermula 8 pagi, 20 pusat mengundi membabitkan 109 saluran akan dibuka untuk proses pengundian sebelum semuanya ditutup serentak pada 6 petang.

Selesai pengundian petang ini, proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini