comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PRK DUN Mahkota pada 28 September, penamaan calon 14 September

Oleh: Hilmi Abdul Malik

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, proses penamaan calon dan hari undi awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK DUN Mahkota adalah daftar terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan Jun 2024 yang dikemaskini sehingga 2 Ogos.

“DPPR ini mengandungi seramai 66,318 orang pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa dan 4,510 tentera serta pasangan, 401 anggota polis dan 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara,” katanya ketika sidang media di Menara SPR hari ini.

Mengulas lanjut, Ramlan memaklumkan, PRK DUN Mahkota menelan perbelanjaan sebanyak RM2.4 juta.

Dalam pada itu, SPR juga telah melantik seramai 1,126 orang petugas bagi mengendalikan proses PRK berkenaan.

Secara keseluruhan, SPR telah menyediakan sebanyak 23 pusat mengundi yang terdiri daripada 120 saluran.

Terdahulu, SPR mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan proses dan tarikh-tarikh penting bagi PRK Mahkota.

Sebelum ini, SPR memaklumkan berhubung kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Mahkota susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Bekas Ketua Wanita UMNO Johor berusia 63 tahun itu, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche’ Besar Hajkah Khalsom (HEBHK) selepas mengalami pendarahan dalaman.

Beliau memenangi kerusi berkenaan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini