comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Mahkota berjalan lancar – Ketua Polis Johor

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar.- Foto fail

KLUANG: Proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, kata Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar.

Beliau berkata, pihaknya secara keseluruhan telah menerima lapan laporan polis sepanjang pilihan raya itu, dengan enam kertas siasatan dibuka.

Daripada jumlah laporan polis itu, katanya, dua diterima pada hari ini membabitkan kes disyaki pemalsuan identiti seorang pengundi, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kes kedua pula membabitkan seorang pengadu mendakwa menerima panggilan daripada seseorang yang berkempen untuk sesuatu parti meskipun tempoh kempen telah tamat pada jam 11.59 malam tadi.

“Kita sedang mengesan individu didakwa membuat panggilan itu untuk diambil keterangan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya pada sidang media di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini, malam ini.

Semalam, Kumar dilaporkan berkata, empat kertas siasatan dibuka membabitkan kesalahan bawah Seksyen 4A Akta Pilihan Raya 1954, Seksyen 504 dan 500 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau juga berkata, sejumlah 878 pegawai dan anggota polis diatur gerak bagi pasca pilihan raya hingga 30 September ini untuk memastikan ketenteraman serta keselamatan awam.

Katanya, pasukan itu akan terbabit dalam penugasan sekatan jalan raya dan pemantauan secara keseluruhan di kawasan berkenaan.

Kumar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bekerjasama dalam memastikan kelancaran proses PRK itu, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat bahawa keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini