Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Mahkota: Beratur seawal 7 pagi tunai tanggungjawab undi awal

Antara anggota tentera yang hadir bersama keluarga untuk melakukan undi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Kem Mahkota Kluang, Johor. -FOTO: NSTP

KLUANG: Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula beratur seawal 7 pagi bagi menunaikan kewajipan mereka mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Dewan Mahkota di Kem Mahkota di sini.

Mereka yang lengkap memakai uniform pasukan, termasuk yang bersama pasangan, dilihat mula memasuki pusat pengundian awal di sini, pada 8 pagi.

Seramai 4,510 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan pasangan berdaftar dengan SPR untuk PRK kali ini.

Daripada jumlah itu, seramai 3,865 pengundi awal berdaftar dijangka menunaikan tanggungjawab mereka di Kem Mahkota.

Bakinya, 645 pengundi awal dari Kem Batu 3 akan mengundi di dua saluran di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim di sini.

Semua pusat mengundi dibuka mulai 8 pagi sebelum ditutup pada 5 petang.

PRK Dun Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini