Oleh: Syafiqah Damanhuri
KLUANG: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berakhir selepas kesemua 20 pusat mengundi ditutup secara rasmi pada jam 6 petang.
Pengiraan undi dilakukan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini dengan peti undi awal dibawa masuk ke dalam dewan pada jam 5.54 petang.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun ketika ditemui media pagi tadi berkata keputusan pengiraan undi dijangka dapat diumumkan pada jam 9 malam ini.
SPR dalam satu kenyataan pada petang tadi turut memaklumkan peratusan keluar mengundi pada jam 4 petang dicatatkan pada kadar 47.16%.
Untuk rekod secara keseluruhannya terdapat 66,318 pengundi berdaftar bagi DUN Mahkota.
Ia melibatkan pertembungan satu lawan satu antara Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah dan Calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.