Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor akan diadakan pada 4 April ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas itu susulan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
“Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh. Tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan serta persiapan-persiapan lain bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincang dan diputuskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas terbabit.
Mengulas lanjut, menurut Ikmalrudin, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San berhubung kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.
“Sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, Bab 5 Fasal (5) Perkara LXX, kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan tersebut berlaku dan disahkan oleh SPR,” katanya.
Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu sejak 2013 meninggal dunia pada 21 Mac lalu selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Beliau kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.