comscore
Tumpuan :
Nasional

PRK DUN Kuala Kubu Baharu ditetapkan pada 11 Mei

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 11 Mei ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon adalah pada 27 April ini.

Selain itu, hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

“PRK DUN Kuala Kubu Baharu memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di sini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK DUN Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu akan dibuka bermula hari ini.

Tambahnya, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses pilihan raya manakala dua pasukan penguat kuasa ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen sepanjang PRK.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK terbabit adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan setakat Februari yang dikemas kini pada 25 Mac lalu. DPPR ini mengandungi seramai 40,226 pemilih,” katanya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas sidang media berkenaan, pemilih itu terdiri daripada 39,362 pengundi biasa; 238 anggota tentera dan pasangan; 625 anggota polis dan seorang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang akan digunakan adalah di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Seramai 760 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Kuala Kubu Baharu, manakala sebanyak 18 pusat mengundi biasa yang mengandungi 74 saluran serta dua pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi tiga tempat saluran awal akan digunakan.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Kee Hiong, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baharu sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Beliau kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi.

Ini adalah PRK ke-7 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu, Terengganu; PRK DUN Simpang Jeram, Johor; PRK Parlimen Pulai, Johor; PRK DUN Pelangai, Pahang; PRK DUN Jepak, Sarawak dan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini