comscore
Tumpuan :
Nasional

Gelanggang PRK DUN Jepak bermula

Penyokong GPS tiba jam 8.30 pagi ini di Dewan Suarah bagi memberi sokongan kepada calon parti itu, Iskandar Turkee.

BINTULU: Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di Dewan Suarah di sini dibuka jam 9 pagi ini.

Tempoh proses penamaan calon akan berlangsung selama sejam hingga 10 pagi sebelum calon-calon yang layak bertanding diumum Pegawai Pengurus PRK DUN Jepak, Abang Zainuddin Abang Turkey.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan-Timbalan Premier, iaitu Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengiringi calon GPS, Iskandar Turkee.

PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip,72, dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 15 September lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri 2021, Allahyarham Talib memenangi kerusi DUN Jepak dengan majoriti undi 4,243.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi untuk PRK DUN Jepak adalah pada 4 November ini, manakala 31 Oktober sebagai tarikh pengundian awal.

Bagaimanapun semalam, Abang Zainuddin memaklumkan tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada 31 Oktober ini kerana kesemua 43 pengundi awal membabitkan anggota polis akan menggunakan sistem undi pos.

Calon GPS, Iskandar Turkee (dua, kanan) bersama pencadang dan penyokongnya tiba di Dewan Suarah untuk proses penamaan calon PRK DUN Jepak.

Rabu lalu, GPS mengumumkan bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cawangan Sarawak Iskandar Turkee sebagai calon mereka.

Sebelum itu, dua parti pembangkang tempatan Sarawak menamakan calon masing-masing bagi mencabar GPS, selain desas-desus mengenai penyertaan beberapa calon Bebas pada PRK itu.

Sementara itu, Perikatan Nasional memutuskan tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRK DUN Jepak.

Tindakan sama turut diambil PKR Sarawak  demi menjaga keharmonian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

PRK DUN Jepak mempunyai sebanyak 22,804 pengundi berdaftar dengan majoritinya terdiri daripada etnik Melayu/Melanau. – BERNAMA

Loading...
Terkini