Tumpuan :
Nasional

Prestasi Jemaah Menteri membanggakan, ada ruang penambahbaikan – PM

Anwar ketika sidang media Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan Madani Tahun 2025 di Pusat Kepimpinan Petronas. – Foto NSTP

BANGI: Prestasi Jemaah Menteri setakat ini berada pada tahap yang membanggakan, meskipun tidak sempurna tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, barisan Kabinet mengambil serius terhadap tanggungjawab yang digalas dan sentiasa bersedia menerima teguran demi memperbaiki prestasi mereka.

“Setakat ini, saya tidak mengatakan semuanya sempurna, tetapi prestasi mereka membanggakan kerana mereka mengambil serius kerja yang dilakukan, menerima teguran dengan baik serta mengambil langkah perlu untuk penambahbaikan,” katanya pada sidang media sempena Pemukiman Kerajaan MADANI 2025 di sini, hari ini.

Menurut Anwar, sesi pemukiman selama dua hari itu turut menilai prestasi kerajaan berdasarkan maklum balas daripada pelbagai pihak, termasuk ahli akademik dan penjawat awam.

Selain menilai prestasi, beliau berkata beberapa isu utama turut dibincangkan dalam pemukiman kali ini, antaranya situasi geopolitik dunia, persiapan negara sebagai Pengerusi ASEAN, serta cabaran kos sara hidup rakyat.

Sehubungan itu, Anwar mengingatkan Jemaah Menteri agar menerima kritikan secara terbuka dan sentiasa berusaha memperbaiki sebarang kelemahan demi kepentingan rakyat.

Perdana Menteri turut menekankan keperluan kesatuan dan kebersamaan yang kuat dalam memastikan Kerajaan MADANI terus berfungsi dengan baik dalam mengangkat suara serta kehendak rakyat.

Beliau juga menegaskan kepentingan kerajaan bergerak pantas serta menyesuaikan diri dengan perubahan geopolitik dan perkembangan teknologi semasa.

Sesi pemukiman itu bertujuan memastikan kesinambungan perancangan kerajaan berjalan lancar.

Pemukiman Kerajaan MADANI 2025 berlangsung selama dua hari di Bangi, Selangor, dengan kehadiran semua anggota Kabinet bagi membincangkan hala tuju pentadbiran negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini