SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol gagal hadir untuk disoal siasat oleh Pihak Berkuasa berhubung percubaannya untuk melaksanakan undang-undang darurat, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Satu pasukan penyiasat bersama, yang terdiri daripada pihak polis, Pejabat Penyiasatan Rasuah untuk Pegawai Tinggi, dan unit penyiasatan Kementerian Pertahanan, telah meminta kehadiran Yoon untuk disoal siasat, lapor agensi berita Yonhap.
Cubaan untuk menyampaikan surat panggilan kepada Yoon gagal minggu ini selepas pejabatnya enggan menerima atau mengembalikan surat tersebut, lapor agensi itu.
Pada hari Sabtu, Parlimen Korea Selatan mengundi untuk memecat Yoon, hampir dua minggu selepas percubaannya yang gagal untuk mengisytiharkan undang-undang darurat.
Perdana Menteri Han Duck Soo telah mengambil alih tugas presiden sehingga Mahkamah Perlembagaan membuat keputusan akhir sama ada untuk mengesahkan pemecatan Yoon atau mengisytiharkannya tidak sah.
Mahkamah telah menetapkan 27 Disember untuk memulakan prosiding pemecatan. Ia tidak jelas sama ada Yoon akan hadir secara peribadi di pendengaran tersebut.
Pihak pembangkang menuduh Yoon melanggar perlembagaan selepas pengisytiharan mendadak undang-undang darurat pada 3 Disember.
Tindakan tersebut mengejutkan negara tetapi dibatalkan beberapa jam kemudian berikutan penentangan besar-besaran daripada orang ramai.
Yoon telah menamakan lawan politiknya sebagai “kuasa anti-negara” dan menyatakan bahawa dia mengisytiharkan undang-undang darurat untuk melindungi negara.
— BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.