Tumpuan :
Nasional

Presiden Turkmenistan diberi sambutan rasmi di Perdana Putra

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudib

PUTRAJAYA: Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow yang dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Berdimuhamedow pada jam 9 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta anggota Jemaah Menteri dan pengurusan tertinggi kerajaan.

Berdimuhamedow kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat.

Ini adalah lawatan pertama Berdimuhamedow ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Turkmenistan pada Mac 2022.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya mengadakan pertemuan yang dijangka membincangkan isu dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, kerjasama minyak dan gas, pendidikan tinggi, pelancongan serta keterhubungan.

Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025

Pada tahun lalu, republik berkenaan adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tengah dengan jumlah dagangan bernilai RM48.62 juta (AS$10.57 juta).

Dari Januari hingga Oktober lalu, jumlah dagangan dua hala telah meningkat ketara sebanyak 74.8 peratus kepada RM63.28 juta (AS$13.90 juta) berbanding RM36.19 juta (AS$7.91 juta) dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini