Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedow akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan itu adalah lawatan pertama Berdimuhamedow ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Turkmenistan pada Mac 2022.
“Berdimuhamedow akan diberikan majlis sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putera, Putrajaya esok, diikuti pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mereka dijangka membincangkan isu dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, kerjasama minyak dan gas, pendidikan tinggi, pelancongan serta keterhubungan.
“Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025” menurut kenyataan itu.
Berdimuhamedow akan diiringi enam Timbalan Perdana Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri, Rashid Meredov dan lima Menteri antaranya Menteri Pertahanan, Begench Gundogdyyev; Menteri Tenaga (Turkmengaz), Maksat Babayev; Menteri Kebudayaan, Atageldi Shamyradov serta Menteri Pertanian, Charyyar Chetiyev.
Turut mengiringi beliau adalah pegawai kanan dari Pejabat Presiden dan Kementerian Luar Negeri.
Di antara Januari hingga Oktober lalu, jumlah dagangan Malaysia dengan Turkmenistan meningkat ketara sebanyak 74.8 peratus kepada RM63.28 juta (AS$13.90 juta) berbanding RM36.19 juta (AS$7.91 juta) untuk tempoh sama pada tahun lalu.
Pada tahun lalu, republik berkenaan adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tengah dengan jumlah dagangan bernilai RM48.62 juta (AS$10.57 juta).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.