Tumpuan :
Nasional

Presiden Singapura diberi sambutan negara di Istana Negara

Oleh : Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Presiden Singapura, Halimah Yacob yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia diberi sambutan negara di Padang Kawad, Istana Negara pagi tadi.

Ketibaan beliau dan suami, Mohamed Abdullah Alhabshee pada jam 11 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri kabinet.

Upacara sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Singapura dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, disusuli tembakan meriam sebanyak 21 das.

Presiden Singapura itu kemudian memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RAMD) Kem Wardieburn Setapak diketuai Mejar Mohd Fadjrin Masor@Mansor.

Beliau kemudiannya bersama Seri Paduka menyempurnakan acara penanaman pokok gelam di halaman istana.

Loading...
Terkini