KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Joko Widodo, dijadual mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini.
Jokowi akan diiringi isterinya, Iriana Joko Widodo serta menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan Indonesia.
Lawatan Joko Widodo atau lebih dikenali Jokowi cukup signifikan dalam usaha meningkatkan hubungan erat yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Kenyataan Kementerian Luar memaklumkan, Presiden Indonesia itu dijadual menghadiri sesi jamuan minum petang bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Dalam rangka lawatan itu juga Jokowi dijadual mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menilai kemajuan bidang kerjasama dan membincangkan isu dua hala yang tertunggak.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Joko Widodo dijangka bertukar-tukar pandangan berkenaan perkembangan isu serantau dan global termasuk pengukuhan ASEAN pasca 2025.
“Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian yang akan ditandatangani wakil kementerian dan agensi berkaitan dari kedua-dua negara,” katanya.
Pada 2022, Indonesia adalah rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan kedua terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan RM130.14 bilion iaitu peningkatan 36.5 peratus berbanding RM95.31 bilion pada 2021.