comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Presiden Filipina diberi sambutan negara di Istana Negara

 

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr diberi sambutan negara di Istana Negara, di sini, hari ini sempena lawatan rasminya sulungnya ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam.

Ketibaan beliau dan isteri Louise Araneta-Marcos pada jam 11 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; serta menteri-menteri kabinet.

Istiadat sambutan di padang kawad itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Filipina dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, disusuli tembakan meriam 21 das.

Presiden Filipina itu kemudian memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja Kem Wardieburn.

Marcos bersama Al-Sultan Abdullah kemudian menanam pokok Melinjau (Gnetum Gnemon) di halaman istana dengan disaksikan Tunku Azizah, Araneta-Marcos,  Anwar dan isteri.

Presiden Filipina itu dijadual mengadakan kunjungan mengadap ke atas Yang di-Pertuan Agong disusuli satu majlis santapan negara bagi meraikan beliau serta delegasinya.

Di sebelah petang, beliau dijadual menyertai sidang media bersama Perdana Menteri di Putrajaya, seterusnya menghadiri majlis makan malam di Menara Berkembar Petronas KLCC.

Menurut Wisma Putra, lawatan terbabit menggambarkan jalinan persahabatan dan hubungan erat antara Malaysia dan Filipina selaku jiran rapat serta negara anggota ASEAN.

Ia termasuk pertukaran lawatan di tahap tertinggi seperti mana lawatan rasmi Perdana Menteri ke Manila pada Mac lalu.

Pada 2022, Republik Filipina rakan dagangan dunia ke-15 terbesar Malaysia dan kelima terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM41.45 bilion (USD9.42 bilion), peningkatan 20.1 peratus berbanding 2021.

Loading...
Terkini