comscore
Tumpuan :
Nasional

Presiden Filipina adakan lawatan ke Malaysia bermula hari ini

Oleh : Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr mengadakan lawatan negara ke Malaysia selama tiga hari, yang menggambarkan jalinan persahabatan dan hubungan erat antara kedua-dua negara selaku jiran rapat.

Lawatan itu yang bermula hari ini adalah lawatan sulung Marcos Jr yang lebih dikenali sebagai ‘Bongbong’ ke negara ini selepas mengangkat sumpah jawatan pada Jun tahun lalu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan Marcos Jr akan diberikan sambutan negara oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, esok.

“Selepas itu, Marcos Jr dijadual mengadakan Kunjungan Mengadap ke atas Yang di-Pertuan Agong, disusuli Majlis Santapan Negara bagi meraikan Marcos Jr serta delegasi,” menurut kenyataan itu.

Dalam lawatan itu, Marcos Jr akan diiringi isterinya, Louise Araneta-Marcos, selain delegasi yang disertai Setiausaha Kabinet, ahli politik serta pegawai kanan kerajaan republik berkenaan.

Mengulas lanjut, sewaktu lawatan tersebut, Marcos Jr juga dijadual bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mana kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Lawatan ini menggambarkan jalinan persahabatan dan hubungan erat antara kedua-dua negara selaku jiran rapat serta negara anggota ASEAN, termasuk menerusi pertukaran lawatan di tahap tertinggi seperti lawatan rasmi Perdana Menteri ke Manila pada Mac lalu,” menurut kenyataan itu.

Pada 2022, Filipina merupakan rakan dagangan dunia ke-15 terbesar Malaysia dan ke-5 terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM41.45 bilion (AS$9.42 bilion).

Angka itu meningkat sebanyak 20.1 peratus berbanding jumlah dagangan pada tahun sebelumnya.

Loading...
Terkini