![](https://media.buletintv3.my/2025/02/erdogan.jpg)
Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
PUTRAJAYA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang berada di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari menerima sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.
Ketibaan beliau pada 11.10 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Lagu kebangsaan kedua-dua negara kemudiannya dimainkan sebelum Erdogan memeriksa kawalan kehormatan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Kabinet, serta diplomat asing.
Erdogan kemudian menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Anwar bagi membincangkan kerjasama dua hala.
Lawatan ini mengukuhkan hubungan Malaysia-Turkiye, terutama dalam perdagangan yang mencatat jumlah RM24.13 bilion (AS$5.28 bilion) pada 2024, peningkatan 18.7 peratus dari 2023.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.