SHAH ALAM: Sebuah premis yang dipercayai menjadi punca pencemaran berwarna biru di Sungai Kabul, dekat sini, diarahkan menghentikan operasinya serta merta dan disita.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata, terdahulu, pihaknya mendapati, aliran air berwarna biru yang dikesan di paip tanpa kebenaran (bypass) berjaya ditutup oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), 12 tengah hari semalam.
Menurutnya, sebaik mendapat maklumat itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) segera ke lokasi dan mendapati aliran air berwarna itu melimpah masuk ke longkang berhampiran bypass berkenaan.
“LUAS segera meletakkan empat beg ‘activated carbon’ (AC) di kawasan longkang terbabit sebagai langkah kawalan dan pencegahan.
“LUAS menjalankan siasatan lanjut ke Kawasan Perindustrian Mahkota, Beranang dan menemukan sebuah alur lurang kumbahan utama (manhole) yang terdapat kesan aliran air berwarna biru berdekatan dengan Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK),” katanya pada kenyataan, hari ini.
Jamaliah berkata, siasatan bersama agensi berkaitan menemukan beberapa bekas mengandungi sisa pewarna dipercayai dakwat pencetak di kawasan sebuah premis yang menjalankan perniagaan mencetak kotak.
“Siasatan juga menemukan, di dalam premis yang disyaki itu, ada kesan basuhan berwarna sama seperti di dalam lurang kumbahan di tandas utama premis berkenaan.
“LUAS melaksanakan pengesahan dan mendapati, aliran air berwarna biru yang ditemukan di paip bypass dan lurang kumbahan berkaitan adalah daripada bahan pencemar yang sama.
“MPKJ dan JAS mengarahkan premis terbabit menghentikan operasi serta-merta dan menyita premis berkenaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.